KUALA LUMPUR, 15 JULAI 2025 – Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) hari ini meluncurkan Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2025 yang disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Pertahanan Malaysia merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan LTAT.
Peluncuran ini memperkenalkan lima (5) inisiatif utama yang dirangka sebagai satu iltizam berterusan dalam memperkasa pendidikan, kemahiran dan kebajikan anak-anak serta keluarga Warga ATM. Lima inisiatif tersebut merangkumi:
1. e-PERKASA SPM 2025
2. Sentuhan Elit SPM 2025
3. Program Kemahiran Keluarga Tentera (K²T)
4. Simpanan Pendidikan Madani
5. Program Pendidikan STEM
Majlis ini turut menyaksikan penyerahan sumbangan CSR berjumlah RM3.2 juta daripada Affin Bank Berhad, BHPetrol dan Kemalak Group Sdn Bhd sebagai tanda sokongan dan
komitmen daripada rakan strategik Yayasan LTAT bagi memperkasa masa depan generasi pertahanan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, YB. Tuan Adly bin Zahari, Panglima Angkatan Tentera, YBhg. Jeneral Tan Sri Haji Mohd Nizam bin Jaffar, Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Azizan bin Ariffin TUDM (Bersara), dan Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Nizar bin Haji Sudin.
Yayasan LTAT akan terus komited dalam memperluas akses pendidikan dan peluang pembangunan diri untuk anak-anak serta keluarga warga ATM demi mencorak generasi pertahanan.