Dato’ Dr. Mohd Nizar bin Haji Sudin
Ketua Eksekutif
Perutusan Ketua Eksekutif
Dari Meja Ketua Eksekutif
Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) terus diberikan kesempatan untuk menyalurkan sumbangan dengan melaksanakan pelbagai inisiatif baharu @ new deals yang memberi manfaat untuk pendidikan anak tentera serta kebajikan warga dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Kementerian Pertahanan melalui Yayasan LTAT diberi mandat merangkumi beberapa penyelarasan inisiatif di bawah inisiatif Quick Win. Objektif penubuhan Yayasan LTAT adalah untuk meningkatkan mutu kehidupan anak warga ATM termasuk ahli keluarga melalui penyaluran bantuan serta membiayai pendidikan dan kebajikan. Selain itu, Yayasan LTAT menjalinkan kerjasama strategik bersama ATM dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) demi menjaga kepentingan penerima manfaat.
Sebagai yayasan yang berfokus kepada pendidikan, kemahiran dan kebajikan warga ATM, Yayasan LTAT akan kekal komited untuk membongkar bakat dan potensi anak tentera dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif baharu yang mampu memberi nilai tambah kepada pembentukan modal insan yang berdaya saing sejajar dengan aspirasi pendidikan nasional.
Semua inisiatif ini sebagai tanda penghargaan pihak Yayasan LTAT kepada pembangunan warga ATM yang menjaga kedaulatan negara. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada perajurit atas segala perit getir yang mereka lalui ketika bertugas di perbatasan untuk menjaga keamanan dan kedaulatan tanah air.
Semoga khidmat bakti dan pengorbanan mereka terus disanjung tinggi dan mendapat keberkatan Ilahi.