KUALA LUMPUR: Program Biasiswa Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) – IIUM Ummatic Scholarship berjaya membantu 72 anak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan anak veteran ATM melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan memberi biasiswa kepada mereka.
Menurut Yayasan LTAT, program itu terhad kepada 10 biasiswa penuh yang ditawarkan setiap tahun bernilai maksimum RM30,000 seorang.
Katanya, Yayasan LTAT menyumbang dana endowmen RM5 juta kepada UIAM bagi pembangunan asrama pelajar atau Mahallah.
“Ia bertujuan memberi peluang pendidikan kepada anak anggota ATM dan anak veteran ATM yang memenuhi syarat kelayakan untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di UIAM. “Pelaksanaan biasiswa ini menggunakan model endowmen Mahallah Yayasan LTAT di kampus UIAM Gombak,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Semalam, seramai tiga pelajar terpilih UIAM menerima biasiswa disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Zon Selatan di Politeknik Merlimau, Melaka.
Penerima biasiswa terbabit ialah Aiman Danish Rohaizam yang menyambung pengajian di peringkat Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan nilai tajaan sebanyak RM27,320.
Ahmad Amir Naufal Mohd Rosdi di peringkat Sarjana Muda Pengajian Ilmu Wahyu dan Warisan Islam (Usuluddin & Perbandingan Agama) dengan nilai tajaan sebanyak RM27,000.
Penerima ketiga ialah Muhammad Aiman Hafiz Rosmawi membabitkan program pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan dengan nilai tajaan RM19,100.
Hadir sama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
Program itu adalah inisiatif hasil kerjasama strategik antara Yayasan LTAT dan UIAM melalui IIUM Endowment Fund (IEF) sejak tahun 2016.
Menurut Yayasan LTAT, sebagai sebahagian daripada komitmen dan nilai tanggungjawab sosial yang diterapkan melalui biasiswa itu, penerima biasiswa perlu berkhidmat dalam ATM selepas tamat pengajian tertakluk kepada syarat perkhidmatan ditetapkan.
Katanya, program itu menjadi manifestasi nyata kepada usaha Yayasan LTAT dalam meningkatkan ekonomi sosial keluarga pertahanan serta memperkasa akses kepada pendidikan tinggi berkualiti, seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI dan komitmen terhadap kesejahteraan warga pertahanan.