PERLIS, 15 November 2025 – Kolej Komuniti Arau telah menjadi lokasi penganjuran kursus kemahiran pastri bagi ahli BAKAT dari Kem Bukit Cowder (30 Briged), yang memfokuskan kepada pembuatan Chocolate Chip Cookies dan S’more Soft Cookies. Seramai 20 peserta mengikuti kursus ini yang turut disertai oleh YBhg. Datin Zuraidah binti Haji Ismail, Pengerusi BAKAT 30 Briged.
Kursus ini dianjurkan di bawah Program Kemahiran Keluarga Tentera (K²T), yang dilaksanakan oleh Yayasan LTAT sebagai usaha memperkukuh kesejahteraan keluarga anggota melalui latihan kemahiran, selari dengan aspirasi MADANI.
Sepanjang sesi latihan, peserta dibimbing mengenai cara menyediakan doh cookies dengan betul, teknik membentuk dan menambah bahan seperti chocolate chips dan marshmallow, serta kaedah pembakaran yang sesuai untuk mendapatkan hasil yang lembut dan menarik. Latihan ini juga memberi ruang kepada peserta untuk mencuba idea kreatif dalam menghias cookies mengikut cita rasa masing-masing.
Program ini merupakan salah satu daripada inisiatif kemahiran yang diluncurkan oleh YB Menteri Pertahanan pada bulan Julai lalu. Pelaksanaannya memberi peluang kepada ahli BAKAT dan anak-anak ATM untuk mempelajari kemahiran baharu yang boleh sekali gus membantu meningkatkan potensi penjanaan ekonomi keluarga tentera.









