SANDAKAN, 24 November 2025 – Yayasan LTAT meneruskan Jelajah Inisiatif Yayasan LTAT di Kem Sri Kinabatangan, Sandakan, Sabah dengan kehadiran seramai 350 anggota ATM dan ahli BAKAT bersama barisan kepimpinan Batalion Ke-22 RAMD yang turut hadir memberi sokongan, iaitu YBrs. Lt Kol M. Idris bin Odding, Pegawai Memerintah Batalion Ke-22 RAMD, YBrs. Mej Mohd Naim bin Mustapha selaku Penolong Pegawai Memerintah Batalion Ke-22 RAMD, serta YBrs. Mej Mohd Shafiq Amri bin Othman, Pegawai Gerakan Batalion Ke-22 RAMD.
Program ini bertujuan untuk memberi penerangan mengenai inisiatif Yayasan LTAT dan mempromosikan Program Kemahiran Keluarga Tentera (K²T).
Sesi taklimat telah disampaikan oleh YBrs. En. Mohammad Zamri Zakaria yang menerangkan ekosistem inisiatif Yayasan LTAT dan diikuti sesi bersama YBrs. En. Lucas Kee dari JPPKK Sandakan yang berkongsi maklumat mengenai kursus-kursus yang ditawarkan. Kolej Komuniti Sandakan turut menyokong melalui pembukaan empat booth pameran dan demonstrasi pelbagai kursus kemahiran.
Sehingga kini, taklimat telah dijalankan di lima belas (15) kem melalui Fasa 1 dan Fasa 2. Hasil daripada taklimat yang telah dilaksanakan, sebanyak 28 kursus kemahiran telah dijalankan oleh Kolej Komuniti dan telah mendapat penyertaan daripada 952 orang ahli BAKAT dari kem-kem seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Dalam masa yang sama, Yayasan LTAT turut menyantuni warga pertahanan melalui penyampaian sumbangan kebajikan kepada 95 anggota ATM sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan warga ATM.
Yayasan LTAT komited untuk meneruskan siri jelajah ini ke kem-kem ATM di seluruh negara bagi memastikan setiap warga ATM mendapat maklumat yang jelas mengenai pelbagai inisiatif yang ditawarkan oleh Yayasan LTAT.





















