KUALA LUMPUR, 24 FEBRUARI 2026 — Seramai 3,328 murid Tahun 1 bagi sesi persekolahan 2026 di kalangan anak-anak warga ATM menerima sumbangan Simpanan Pendidikan MADANI yang disempurnakan oleh Menteri Pertahanan merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan LTAT, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin sempena Majlis Berbuka Puasa bersama warga Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan.
Sebagai simbolik kepada keseluruhan penerima, YB Menteri Pertahanan menyempurnakan penyerahan Mock Cheque Simpanan Pendidikan MADANI dengan jumlah keseluruhan RM166,400, yang disampaikan kepada tiga Panglima Perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia sebanyak RM100,900, Tentera Laut Diraja Malaysia sebanyak RM30,600 dan Tentera Udara Diraja Malaysia sebanyak RM34,900.
Menerusi kerjasama strategik bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, setiap penerima manfaat menerima sumbangan berjumlah RM50 secara one-off yang dikreditkan ke dalam akaun simpan SSPN Prime sebagai permulaan simpanan pendidikan masa depan. Pengkreditan akan dilakukan ke akaun penerima secara berperingkat dan dijangka selesai pada 18 Mac 2026.
Dalam majlis yang sama, YB Menteri Pertahanan turut menyampaikan Sumbangan Kebajikan berjumlah RM34,000 kepada warga ATM yang terkesan akibat banjir serta kepada 20 orang anggota tentera atau waris yang memerlukan.
Turut hadir ke Majlis Berbuka Puasa Bersama warga Kementerian Pertahanan, YB Adly bin Zahari, Timbalan Menteri Pertahanan; YBhg. Jeneral Datuk Haji Malek Razak bin Sulaiman, Panglima Angkatan Tentera; YBhg. Datuk Lokman Hakim bin Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan; Ybhg. Jeneral Dato’ Azhan bin Md Othman, Panglima Tentera Darat; YBhg. Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy bin Ithnain, Panglima Tentera Laut; YBhg. Jeneral Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris, Panglima Tentera Udara serta YBhg. Dato’ Dr. Mohd Nizar, Ketua Eksekutif Yayasan LTAT.










