KUALA LUMPUR, 10 Mac 2026 – Program Ziarah Mahabbah Ramadan 1447H Yayasan LTAT dan Badan Kebajikan Isteri Anggota ATM (BAKAT) telah diadakan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan hari ini. Sesi ziarah ini turut melibatkan penyerahan sumbangan kebajikan kepada 30 orang pesakit di Wad Wanita dan Kanak-Kanak dari kalangan keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sesi ziarah disertai oleh YBhg. Datin Seri Hajah Rosni binti Omar, isteri Menteri Pertahanan Malaysia, YBhg. Datin Hajah Siti Juana binti Md Ibrahim; Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM bersama YBhg. Dato’ Dr. Mohd Nizar bin Haji Sudin, Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, sebagai tanda keprihatinan serta memberi semangat kepada pesakit dan keluarga yang sedang berdepan ujian kesihatan.
Sumbangan hari ini adalah di bawah Program Ziarah Mahabbah Ramadan 1447H, yang memperuntukkan RM88,600 bagi menyalurkan bantuan kepada 294 penerima sepanjang program. Antara penerima adalah anggota tentera atau waris yang menghidap penyakit kronik, Orang Kurang Upaya (OKU), serta waris anggota ATM yang telah meninggal dunia. Inisiatif ini dilaksanakan bagi memastikan kebajikan warga ATM dan keluarga mereka terus terpelihara, khususnya sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Turut hadir, YBhg. Datin Noor Ainy binti Hj Mohd Ali; Pengerusi Jemaah BAKAT Darat, YBhg. Puan Sri Zamzelina binti Ahmad; Pengerusi Jemaah BAKAT Laut, dan YBhg. Brig Jen Dato’ Dr. Mohamed Hatta bin Hj Manis, Pegawai Memerintah Hospital Tuanku Mizan serta warga Yayasan LTAT.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Yayasan LTAT dalam memperkukuh agenda kebajikan warga ATM, khususnya kepada mereka yang memerlukan perhatian ketika berdepan situasi sukar, di samping memberi manfaat kepada anggota ATM, veteran serta keluarga mereka selaras dengan usaha memperkukuh kesejahteraan komuniti pertahanan negara.
# YasaYayasanLTAT
#MinDefUpdate
#MinDefMalaysia
#JagaWiraKita
#KemahiranKeluargaTentera











