KUALA LANGAT, 8 Ogos 2026 – Kursus Kek Tapak Kuda di bawah Program Kemahiran Keluarga Tentera (K²T) telah diadakan di Kolej Komuniti Kuala Langat dengan penyertaan seramai 22 orang ahli BAKAT Pangkalan Udara Jugra. Kursus ini bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta mengenai pilihan bahan kandungan dan cara penyediaan Kek Tapak Kuda dengan kaedah yang betul serta meningkatkan kemahiran dalam bidang pembuatan makanan.
Menerusi sesi taklimat, demonstrasi dan amali, peserta diberi penerangan mengenai pengenalan bahan, teknik penyediaan adunan serta kaedah membakar Kek Tapak Kuda. Peserta turut berpeluang mempraktikkan sendiri teknik yang dipelajari dengan bimbingan Puan Ruzita Badri. Pada akhir kursus, sijil penyertaan akan diberikan kepada peserta sebagai tanda penghargaan atas penglibatan mereka setelah menyelesaikan kursus.
Rata-rata peserta menyatakan rasa gembira dan berpuas hati kerana berpeluang mempelajari cara-cara membuat Kek Tapak Kuda dengan teknik yang betul. Kursus ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada peserta untuk mengaplikasikan kemahiran yang diperoleh dalam kehidupan seharian, di samping membuka peluang untuk dikembangkan sebagai kemahiran keusahawanan dan sumber pendapatan keluarga.