Berita, Kemahiran

RESIN ART MEMBUKA PELUANG BAHARU UNTUK MEMPERKASA KREATIVITI DAN POTENSI AHLI BAKAT

Kursus Resin Art diperkenalkan buat pertama kali di bawah program K²T dengan penyertaan ahli BAKAT Pangkalan Udara Sendayan bagi memperkasa kreativiti dan potensi keusahawanan.
WhatsApp
Telegram
Facebook
X
LinkedIn

SENDAYAN, 22 Ogos 2026 – Kursus Resin Art diperkenalkan buat pertama kalinya dalam kalangan ahli BAKAT di bawah inisiatif K²T, dengan ahli BAKAT Pangkalan Udara Sendayan menjadi kumpulan yang pertama melaksanakan kursus ini. Berlangsung di Rumah BAKAT Pangkalan Udara Sendayan, kursus ini menjadi platform untuk memperkasa kreativiti, kemahiran serta potensi keusahawanan dalam kalangan ahli BAKAT.

Seramai 50 orang ahli BAKAT Pangkalan Udara Sendayan menyertai kursus yang menggabungkan pembelajaran secara teori dan amali. Keunikan resin art terletak pada kreativiti menghasilkan pelbagai produk yang unik dan boleh dipersonalisasi, termasuk aksesori, barangan dekorasi, cenderamata dan produk tempahan yang mempunyai nilai komersial tersendiri. Kemahiran ini juga berpotensi dikembangkan sebagai sumber pendapatan sampingan atau perniagaan dari rumah, termasuk melalui pemasaran di platform digital.

Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) melalui Kolej Komuniti Jempol, selaras dengan komitmen Yayasan LTAT dalam memperluas akses kepada latihan kemahiran yang praktikal, relevan dan berorientasikan keusahawanan.

Turut hadir, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Nizar bin Hj. Sudin, Ketua Eksekutif Yayasan LTAT; YBrs. Kol Narulnizam bin Razali TUDM, Komander Pangkalan Udara Sendayan; YBrs. Puan Zairah binti Zainal Abidin, Pengerusi BAKAT Pangkalan Udara Sendayan; serta YBrs. Puan Siti Noor Zihan binti Hanipah, Timbalan Pengarah Akademik Kolej Komuniti Jempol.

Yayasan LTAT terus komited memperkasa keluarga ATM melalui pembangunan kemahiran, kreativiti dan peluang ekonomi, agar kemahiran yang dipelajari dapat diterjemahkan kepada nilai tambah serta potensi penjanaan pendapatan.