LUMUT, 19 September 2026 – Di sebalik kekuatan setiap perwira, tersimpan kisah pengorbanan, ketabahan dan sokongan keluarga yang sentiasa berdiri teguh bersama mereka.
Bersempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-93, jasa warga pertahanan bukan sahaja dikenang, malah dihargai melalui usaha berterusan dalam menyantuni kebajikan anggota, veteran dan keluarga ATM.
YBhg. Jeneral Tan Sri Malek Razak bin Sulaiman, Panglima Angkatan Tentera merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan LTAT, telah menyampaikan sumbangan kebajikan kepada 15 penerima yang terdiri daripada anggota dan ahli keluarga ATM yang berdepan pelbagai cabaran kesihatan.
Penyampaian sumbangan berlangsung dalam Majlis Ramah Mesra Meraikan Anggota Cedera, Veteran dan Kebajikan di Pangkalan TLDM Lumut, Perak. Sumbangan ini diharapkan dapat meringankan beban para penerima, sekali gus menjadi tanda bahawa jasa dan pengorbanan mereka sentiasa dihargai.
Menelusuri 93 tahun perjalanan Angkatan Tentera Malaysia, setiap khidmat dan pengorbanan yang dicurahkan turut didukung oleh ketabahan keluarga yang berdiri teguh di sisi warga ATM. Justeru, sambutan Hari ATM turut membawa makna untuk terus menghargai mereka yang berbakti serta memastikan kebajikan keluarga besar ATM sentiasa diberi perhatian.
Yayasan LTAT kekal komited untuk mendampingi dan menjaga kebajikan keluarga besar ATM. Kerana bagi kami, menghargai wira bukan sekadar mengenang jasa mereka, tetapi memastikan mereka dan keluarga terus disantuni.