Berita, Pendidikan

YAYASAN LTAT CETUS MINAT ANAK ATM TEROKA STEM MELALUI TEKNOLOGI DRON

Program Pendidikan STEM Sekolah Dalam Kem (SDK) 2026 memperkenalkan teknologi dron bagi memupuk minat anak-anak warga ATM terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
WhatsApp
Telegram
Facebook
X
LinkedIn

KUALA LUMPUR, 23 Oktober 2026 – Teknologi dron menjadi wadah mencetus minat anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhadap sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) menerusi Program Pendidikan STEM Sekolah Dalam Kem (SDK) Tahun 2026.

Program anjuran Yayasan LTAT dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) serta tajaan Global Turbine Asia Sdn. Bhd. (GTA) ini melibatkan seramai 401 peserta daripada tujuh buah SDK. Antaranya ialah 30 pelajar Tingkatan Empat Maktab Tentera Diraja (MTD) yang mengikuti program di Kem Perdana Sungai Besi.

Melalui pendekatan pembelajaran secara praktikal, para pelajar didedahkan kepada teknologi dron, pengaturcaraan dan kecerdasan buatan (AI), serta aplikasinya dalam industri aeroangkasa dan kejuruteraan.

Bengkel intensif pengaturcaraan dron yang merangkumi asas Python dan OpenCV membuka ruang kepada pelajar untuk mengasah kemahiran teknikal, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah. Pelajar terpilih turut menerima bimbingan serta persediaan teknikal bagi membangunkan projek inovasi untuk pertandingan Techlympics.

Pendedahan ini bukan sahaja memperluas pengalaman pembelajaran, malah membantu pelajar meneroka potensi diri dan peluang kerjaya dalam bidang teknologi.

Yayasan LTAT terus memperkasa pendidikan anak-anak warga ATM dengan membuka akses kepada ilmu dan kemahiran STEM, bagi membentuk generasi yang kreatif, inovatif dan bersedia memenuhi keperluan industri masa hadapan.