KUALA LUMPUR: Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) meneruskan penganjuran siri Jelajah Inisiatif Yayasan LTAT 2025 dan Program Kemahiran Keluarga Tentera (K²T) Fasa Kedua di Kuching, Sarawak, minggu lalu.
Program dua hari itu diadakan di Kem Penrissen pada 16 Oktober lalu manakala program kemahiran di Pangkalan Udara TUDM Kuching pada 17 Oktober.
Seramai lebih 400 peserta terdiri daripada anggota ATM serta ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) daripada pelbagai formasi dan pasukan 1 Divisyen dan Pangkalan Udara Kuching terbabit dalam program itu.
Turut hadir di Kem Penrissen, Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Khairul Anuar Abd Aziz dan Pengerusi BAKAT 1 Divisyen, Datin Roslina Abu Bakar, bersama wakil BAKAT serta pegawai kanan ATM.https://45b0916017ff23e3ec481d62410a4c92.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-45/html/container.html?n=0
Sesi di Pangkalan Udara Kuching pula disertai Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin; Pemangku Komander Pangkalan Udara Kuching, Leftenan Kolonel Ali Mohamad, wakil Jemaah BAKAT Udara, Nazrah Idris serta Pengerusi BAKAT, Pangkalan Udara Kuching, Noridah Ahmad @ Othman.
Program turut dimeriahkan dengan pameran reruai oleh Kolej Komuniti (KK) Kuching, KK Mas Gading dan KK Santubong, yang menawarkan pelbagai kursus kemahiran seperti aneka bun, cetakan T-shirt, kek lapis Sarawak, pendawaian elektrik, penghasilan kek coklat dan menggunting rambut.
Siri jelajah ini dimulakan dengan Taklimat Inisiatif Yayasan LTAT 2025 yang memperincikan 13 inisiatif dan insentif berasaskan tiga tunjang utama — pendidikan, kemahiran dan kebajikan.
Sesi itu diikuti dengan Taklimat Program K²T, yang menyasarkan ahli BAKAT dan anak-anak ATM memperkasa keupayaan kemahiran serta sosioekonomi keluarga warga ATM.
Program K²T dilaksanakan dengan mandat daripada Kementerian Pertahanan melalui kerjasama strategik bersama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Program itu adalah lima inisiatif utama Yayasan LTAT yang dilancarkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 15 Julai lalu.
Melalui inisiatif ini, Kolej Komuniti menawarkan 22 bidang kemahiran merangkumi kulinari, jahitan, dandanan rambut, keusahawanan, teknologi digital dan pelbagai kursus lain yang relevan dengan keperluan semasa.