KUALA LUMPUR – Yayasan LTAT meneruskan usaha memperkasa kemahiran ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) menerusi Program Kemahiran Keluarga Tentera (K²T) bagi Kluster Masakan dan Katering yang memberi pendedahan kepada kemahiran penyediaan makanan serta potensi keusahawanan.
Menerusi Kursus Pembuatan Kuih-Muih Tradisional yang berlangsung di Kolej Komuniti Hulu Langat pada 9 Oktober 2026, para peserta berpeluang mempelajari teknik penyediaan Bingka Ubi, Bingka Keladi dan Talam Ubi melalui sesi demonstrasi serta latihan praktikal bersama tenaga pengajar berpengalaman.
Sementara itu, seramai 20 ahli BAKAT Laut MAWILLA 1 turut menyertai Kursus Pembuatan Biskut Raya yang diadakan di Kolej Komuniti Paya Besar bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pembuatan biskut.
Pelaksanaan kursus ini mencerminkan komitmen berterusan Yayasan LTAT dalam memperluas akses latihan kemahiran kepada keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sekali gus membuka peluang menjana pendapatan sampingan, meneroka bidang keusahawanan serta meningkatkan kesejahteraan ekonomi keluarga.