KUALA LUMPUR, 14 Mac 2025 – Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) telah menyerahkan sumbangan Simpanan Pendidikan MADANI berjumlah RM189,400 kepada 3,788 murid Tahun 1 sesi persekolahan 2025/2026.
Sumbangan ini diberikan kepada anak-anak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada tiga cabang perkhidmatan:
- Tentera Darat (TDM): 2,781 pelajar (RM139,050)
- Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM): 359 pelajar (RM17,950)
- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM): 648 pelajar (RM32,400)
Setiap penerima dibantu membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dengan sumbangan RM50 yang dikreditkan terus ke dalam akaun masing-masing.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh perancangan kewangan pendidikan anak-anak ATM dan selari dengan aspirasi Yayasan LTAT untuk menjadi peneraju dalam bidang pendidikan serta kebajikan keluarga tentera.
Ia turut didukung melalui kerjasama strategik bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada Mac 2024.
Replika cek sumbangan diserahkan oleh Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Nizar bin Haji Sudin kepada YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Pertahanan merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan LTAT, sebelum disampaikan kepada Panglima-Panglima Perkhidmatan masing-masing dalam siri lawatan dan majlis berbuka puasa di beberapa kem dan pangkalan tentera.
Yayasan LTAT kekal komited menyokong inisiatif Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan ATM dalam memperkukuh kebajikan serta memastikan masa depan pendidikan anak-anak anggota terus terjamin.