Berita, Pendidikan

MINDEF raikan 246 anak warga ATM cemerlang akademik

KUALA LUMPUR – Seramai 246 anak Warga Kerja Pertahanan (WKP) diraikan dalam Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) 2025 hari ini, sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang mereka dalam akademik dan kemasukan ke institusi pengajian tinggi

WhatsApp
Telegram
Facebook
X
LinkedIn

KUALA LUMPUR – Seramai 246 anak Warga Kerja Pertahanan (WKP) diraikan dalam Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) 2025 hari ini, sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang mereka dalam akademik dan kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) dalam serta luar negara.

AKP merupakan inisiatif tahunan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi mengiktiraf anak-anak WKP yang berjaya melanjutkan pengajian atau cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendidikan merupakan salah satu fokus utama dalam usaha kementerian meningkatkan kesejahteraan anggota, selain aspek perumahan, kesihatan dan kebajikan.

“Kita nikmati kestabilan dan keamanan hari ini hasil kesetiaan serta pengorbanan mereka kepada negara.

“Melalui program pendidikan yang strategik bersama Yayasan LTAT, kita berharap lebih ramai anak anggota tentera akan berjaya dan menjamin masa depan yang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis tersebut yang berlangsung di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM itu.

Bermula tahun ini, pengiktirafan turut diberikan kepada anak kakitangan awam Kementerian Pertahanan (MINDEF) sebagai dorongan kepada generasi muda untuk mengekalkan kecemerlangan.

Selaras dengan Teras Ketiga Pelan Strategik MINDEF 2021-2025 (Pelestarian Kesejahteraan WKP), Yayasan LTAT melaksanakan pelbagai program pendidikan seperti Sentuhan Elit SPM, e-Perkasa SPM, STEM, Kemahiran Keluarga Tentera (K2T), Simpanan Pendidikan MADANI dan Bantuan Pengajian Tinggi.

Majlis itu mencerminkan iltizam berterusan MINDEF dan Yayasan LTAT dalam memastikan anak-anak warga ATM mempunyai asas pendidikan kukuh demi masa depan yang gemilang.