Aktiviti, Berita

Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera sasar lebih ramai ahli BAKAT sertai kursus kemahiran

KUALA LUMPUR: Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) menyasarkan lebih ramai ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) menyertai kursus di bawah Program Kemahiran Keluarga Tentera K²T. Yayasan LTAT dalam kenyataan hari ini memaklumkan,

WhatsApp
Telegram
Facebook
X
LinkedIn

KUALA LUMPUR: Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) menyasarkan lebih ramai ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) menyertai kursus di bawah Program Kemahiran Keluarga Tentera K²T.

Yayasan LTAT dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya melaksanakan siri Jelajah Inisiatif Yayasan LTAT di Kem Sri Kinabatangan, Sandakan, Sabah membabitkan kehadiran seramai 350 anggota ATM dan Ahli BAKAT.

“Penganjuran sesi ini bertujuan menyampaikan maklumat komprehensif mengenai pelbagai inisiatif Yayasan LTAT serta mempromosikan K²T yang memberi peluang kepada ahli BAKAT untuk mempelajari kemahiran baharu.

“Pengembangan Program K²T terus diperluaskan termasuk ke Sabah khususnya dengan kerjasama strategik bersama rangkaian institusi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) setempat.

“Kolej Komuniti Sandakan adalah institusi terdekat yang menawarkan kursus-kursus di bawah pembelajaran sepanjang hayat (PSH),” katanya.

Menurut kenyataan itu, antara lima kursus paling popular yang ditawarkan di Kolej Komuniti Sandakan ialah Kursus Penghasilan Meatballs dan Patty Burger, Kursus Penghasilan Korean Garlic Cheese Bun, Kursus Asas Jahitan, Kursus Tali Tinggi dan Kursus Sub-Irrigated Planter (SIP).

“Sehingga kini, Program K²T sudah melaksanakan 28 kursus merangkumi pelbagai bidang kemahiran dengan penyertaan 952 ahli BAKAT di seluruh negara.

“Perkembangan positif ini menggambarkan sambutan yang menggalakkan dan diharapkan dapat diperluas lagi dengan penyertaan yang lebih tinggi pada masa hadapan,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan, taklimat K²T Fasa 1 sudah dilaksanakan di lapan buah kem membabitkan 1,150 ahli BAKAT, manakala Taklimat Fasa 2 dijalankan di lima buah kem dengan penyertaan 1,250 ahli BAKAT.

“Peningkatan penyertaan itu menunjukan sambutan yang menggalakkan terhadap program kemahiran yang ditawarkan.

“Di samping pelaksanaan taklimat inisiatif itu, Yayasan LTAT turut memastikan aspek kebajikan warga ATM terus diberi perhatian,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, dalam siri jelajah di Sabah, Yayasan LTAT tidak melepaskan peluang menyantuni seramai 95 anggota ATM melalui penyampaian sumbangan kebajikan sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap kesejahteraan kebajikan warga pertahanan.

“Melalui pelaksanaan sesi ini, kami berharap warga ATM di Sabah memperoleh pemahaman yang jelas mengenai ekosistem inisiatif Yayasan LTAT dan meningkatkan penyertaan dalam Program K²T.

“Usaha itu selaras dengan aspirasi MADANI untuk memperkukuh kesejahteraan dan pembangunan modal insan,” katanya.

Katanya, jelajah inisiatif berkenaan akan diteruskan ke baki tujuh kem ATM bagi memastikan warga ATM di seluruh negara mendapat maklumat terperinci mengenai inisiatif Yayasan LTAT dan Program K²T, sekali gus membuka lebih banyak peluang penyertaan dalam program pembangunan kemahiran untuk warga ATM.