Aktiviti, Berita

Yayasan LTAT perkukuh kesejahteraan keluarga ATM melalui Jelajah Sabah

KOTA KINABALU – Dalam usaha memperkukuh kesejahteraan keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sabah, Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) telah mengadakan dua sesi taklimat yang berlangsung di Kem Kok Kawi, di sini baru-baru

WhatsApp
Telegram
Facebook
X
LinkedIn

KOTA KINABALU – Dalam usaha memperkukuh kesejahteraan keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sabah, Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) telah mengadakan dua sesi taklimat yang berlangsung di Kem Kok Kawi, di sini baru-baru ini.

Program melibatkan lebih 200 ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) daripada 5 Briged dan 5 Divisyen.

Taklimat itu dianjurkan sebagai sebahagian daripada Majlis Hi-Tea Sekalung Budi Sejambak Kasih bagi BAKAT 5 Briged dan Majlis Penghargaan BAKAT 5 Divisyen.

Yayasan LTAT dalam kenyataan berkata, ia menjadi platform penting untuk menyampaikan maklumat terkini mengenai inisiatif yayasan itu serta memastikan ahli BAKAT memahami struktur, manfaat dan peluang penyertaan Program Kemahiran Keluarga Tentera (Program K²T) yang ditawarkan sepanjang tahun.

Melalui kerjasama tersebut, keluarga ATM di Sabah berpeluang mengikuti latihan kemahiran yang ditawarkan oleh tiga Politeknik dan sembilan Kolej Komuniti.

Antara kursus yang ditawarkan termasuk kecantikan dan dandanan, jahitan dan pakaian serta kraftangan dan hiasan dalaman.

Majlis taklimat turut dihadiri Setiausaha Politik Menteri Pertahanan, Datuk Mohammad Khairi A. Malik; Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Noorrul Azril Ariffin; Pengerusi BAKAT 5 Divisyen, Datin Noriza Mohd Rashid; Pengerusi BAKAT 5, Datin Rafidah Dawang serta Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin.

Menurut Yayasan LTAT lagi, siri jelajah itu melambangkan komitmen berterusan mereka dalam memastikan warga ATM di Sabah terus menikmati akses kepada pelbagai inisiatif Kementerian Pertahanan.

“Langkah ini juga selaras dengan agenda aspirasi MADANI bertujuan membangunkan masyarakat yang sejahtera, berdaya saing dan berkemahiran.

“Dengan program seperti K²T, Yayasan LTAT bukan sahaja menumpukan perhatian kepada kesejahteraan keluarga ATM, malah turut membuka ruang bagi pembangunan diri ahli keluarga tentera melalui kemahiran praktikal dan keusahawanan.

“Program ini diharap dapat memberi impak positif jangka panjang kepada ekonomi dan kualiti hidup mereka,” jelas kenyataan itu lagi.