Berita, Pendidikan

Inisiatif tuisyen percuma perkasa pendidikan anak ATM

Kepentingan soal pendidikan, kebajikan dan kesejahteraan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi keutamaan diberi perhatian oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta terus dizahirkan menerusi pelaksanaan inisiatif pendidikan dan kemahiran komprehensif dan berstrategik.

WhatsApp
Telegram
Facebook
X
LinkedIn

Kepentingan soal pendidikan, kebajikan dan kesejahteraan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi keutamaan diberi perhatian oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta terus dizahirkan menerusi pelaksanaan inisiatif pendidikan dan kemahiran komprehensif dan berstrategik.

Kementerian Pertahanan melalui Yayasan LTAT memberi tumpuan kepada penyediaan akses pendidikan seimbang dan berkesan kepada seluruh anak ATM sama ada yang tinggal di dalam kem mahupun di luar kem.

Inisiatif ini bukan sekadar bantuan pendidikan semata-mata, malah sebagai suatu pelaburan jangka panjang dalam membentuk generasi muda ATM yang berdaya saing, berwawasan dan mampu menempa masa depan cemerlang.

Selaras komitmen ini, Yayasan LTAT memperkenalkan dua program utama, iaitu program tuisyen e-Perkasa bagi pelajar di luar kem dan Sentuhan Elit bagi pelajar yang bersekolah di dalam kem.

Kedua-dua inisiatif ini dirangka bagi memastikan tidak ada anak ATM tercicir dalam persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025. Program ini bukan sahaja diyakini dapat memperkukuh asas akademik, tetapi turut menyediakan sokongan moral dan motivasi bagi membantu pelajar mendepani cabaran peperiksaan dengan penuh keyakinan.

Komitmen Kementerian Pertahanan diperteguhkan melalui pendekatan pendidikan dan kemahiran menyeluruh di bawah inisiatif Yayasan LTAT. Menteri Pertahanan melancarkan lima inisiatif pendidikan utama, iaitu:

1. e-Perkasa

2. Sentuhan Elit

3. Program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM)

4. Program Kemahiran Keluarga Tentera (K2T)

5. Simpanan Pendidikan Madani

Daripada keseluruhan inisiatif berkenaan, program tuisyen e-Perkasa dan Sentuhan Elit antara yang paling signifikan kerana program ini khusus kepada persediaan SPM. Program ini membabitkan 1,310 pelajar anak-anak ATM daripada 413,372 calon SPM 2025 di seluruh negara.

Seramai 652 pelajar turut menerima peranti digital daripada Yayasan LTAT bagi memudahkan akses tuisyen dalam talian bagi program e-Perkasa.

Sementara itu, program Sentuhan Elit memperoleh sokongan kukuh melalui tajaan Maybank Islamic Berhad. Ia membuktikan keupayaan program ini dalam menarik kerjasama sektor korporat untuk turut menyatakan keprihatinan dan sokongan terhadap kecemerlangan masa depan anak-anak ATM.

Pelaksanaan program e-Perkasa 2025 digerakkan melalui kerjasama pintar antara Kementerian Pertahanan, Yayasan LTAT, institusi pendidikan dan rakan strategik. Sokongan daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) dalam memastikan penyediaan tenaga pengajar pakar, modul latihan tersusun serta bimbingan mentor-mentee yang efektif.

Pemberian sumbangan peranti kepada peserta e-Perkasa oleh pihak rakan strategik seperti Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHICASS) dan Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) menjadi pemangkin utama dalam merapatkan jurang digital, terutama bagi pelajar luar kem yang berdepan keterbatasan akses teknologi.

Langkah berskala besar ini membolehkan pelajar mengikuti pembelajaran dalam talian secara lebih konsisten, tersusun dan efisien. Kerjasama akademik ini menghasilkan modul pengajaran berstruktur dan pendekatan bimbingan mentor-mentee diyakini akan memberi impak dalam meningkatkan lagi penguasaan akademik, disiplin dan kemahiran belajar secara mandiri.

Komponen utama Sentuhan Elit

Bagi pelajar sekolah dalam kem, program Sentuhan Elit memberi fokus kepada empat mata pelajaran teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah. Pelaksanaannya merangkumi lima utama:

1. Tuisyen Intensif

2. Pecutan Akhir

3. Bengkel Teknik Menjawab

4. Sesi Motivasi

5. Hala Tuju Kerjaya

Program berlangsung dari April hingga bulan ini membabitkan 658 pelajar dari enam sekolah dalam kem. Setiap komponen disusun secara holistik bagi meningkatkan penguasaan akademik, ketahanan mental dan emosi serta keyakinan diri pelajar dalam menghadapi tekanan peperiksaan.

Hakikatnya, modal insan dan pendidikan menjadi komponen yang menjadi teras utama di bawah Kerajaan MADANI bagi melahirkan masyarakat berilmu dan berdaya saing.

Sehubungan itu, keseluruhan inisiatif pendidikan di bawah Yayasan LTAT mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pertahanan dalam memperkukuhkan kesejahteraan keluarga ATM menerusi pemerkasaan ilmu.

Sokongan strategik daripada rakan institusi dan sektor korporat menjadikan program ini bukan sahaja dilihat menyeluruh, tetapi juga mampan dan berimpak besar untuk terus membangun potensi generasi muda pertahanan negara.

Selamat maju jaya kepada semua calon SPM 2025. Semoga kecemerlangan sentiasa mengiringi setiap langkah calon SPM. Mudah-mudahan segala usaha gigih sepanjang persediaan peperiksaan akan membuahkan hasil yang gemilang.

Penulis adalah Ketua Eksekutif Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)