KUALA LUMPUR, 6 Februari 2026 – Taklimat Hala Tuju & Kerjaya Selepas SPM merupakan salah satu komponen utama dalam Program Sentuhan Elit SPM 2026, yang bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai pilihan laluan pendidikan dan kerjaya selepas SPM.
Taklimat ini dilaksanakan oleh Yayasan LTAT dengan kerjasama Kings University College, melibatkan pelajar Tingkatan 4 dan 5 di SMK Desa Tun Hussein Onn serta ibubapa.
Dalam sesi perkongsian ini, pihak Kings University College telah memperkenalkan peluang pengajian dalam dua bidang kemahiran utama, iaitu Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Teknologi Maklumat (IT), sebagai antara pilihan laluan pendidikan kepada para pelajar. Penerangan lanjut disampaikan oleh En. Thilaga Subramaniam, Ketua Jabatan TVET, dan Cik Wan Nur Ellanie, Pengurus Projek Kings University College.
Turut diadakan pengisian slot oleh En. Mohammad Zamri bin Zakaria, Pengurus Kanan Pembangunan Korporat Yayasan LTAT, yang menerangkan mengenai inisiatif dan peranan Yayasan LTAT dalam memperkasa bidang pendidikan dan kemahiran, khususnya peluang dan sokongan yang ditawarkan kepada anak-anak warga ATM dalam bidang TVET.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Yayasan LTAT dalam membantu anak-anak ATM merancang hala tuju pendidikan yang lebih terarah dan bersesuaian dengan minat serta potensi masing-masing.







