KEMAMAN, 8 Februari 2026 – Program Latihan Anak ATM dan Anak Veteran (LAKSAMANA 3.0) Kohort 1 dimulakan sebagai fasa baharu di bawah inisiatif kemahiran Yayasan LTAT, selaras dengan usaha Kementerian Pertahanan dalam memperkukuh pembangunan modal insan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Pelaksanaan program ini merupakan kesinambungan kerjasama strategik yang dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) berteraskan pendekatan ‘Train & Place’ melalui RSA Academy Sdn Bhd sebagai rakan pelaksana program.
Seramai 15 orang peserta yang terdiri daripada anak-anak ATM dan anak-anak Veteran ATM menyertai kohort pertama ini dan mengikuti latihan kemahiran berfokuskan industri Non-Destructive Testing (NDT), yang membuka laluan kepada peluang pekerjaan khususnya dalam sektor Oil & Gas. Program ini menawarkan tajaan penuh yuran latihan termasuk makan minum dan penginapan, elaun latihan sambil bekerja, serta peluang memperoleh pensijilan profesional industri seperti International Personnel Certification Scheme (IPCS) dan Oil and Gas Safety Passport (OGSP), sekali gus memperkukuh kebolehpasaran, prospek dan peluang penempatan kerjaya peserta melalui rantaian industri sedia ada rakan strategik pelaksana.












