SUBANG, 4 Mac 2026 – Seramai 698 murid Tahun 1 anak-anak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seluruh negara menerima manfaat Simpanan Pendidikan MADANI 2026 yang berjumlah RM34,900.
Simbolik penyerahan Simpanan Pendidikan MADANI 2026 kepada anak-anak warga TUDM telah disampaikan oleh YB Adly bin Zahari, Timbalan Menteri Pertahanan sempena Lawatan Kerja Rasmi Timbalan Menteri Pertahanan di Pangkalan Udara Subang.
Penyerahan pada hari ini merupakan kesinambungan daripada penyampaian Mock Cheque Simpanan Pendidikan MADANI 2026 yang disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin kepada tiga Panglima perkhidmatan melibatkan seramai 3,328 anak-anak warga ATM Darjah 1 dengan peruntukan sebanyak RM166,400 ketika Majlis Berbuka Puasa Kementerian Pertahanan pada 24 Februari 2026 yang lalu.
Inisiatif ini adalah hasil kerjasama Yayasan LTAT dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan pembukaan akaun Simpan SSPN Prime dengan pengkreditan secara one-off sebanyak RM50 setiap murid.
Dalam majlis yang sama, 25 anggota dan keluarga ATM yang menghidap sakit kronik turut disantuni melalui sumbangan kebajikan Yayasan LTAT sebagai bukti keprihatinan berterusan terhadap kesejahteraan warga ATM. Turut hadir juga merupakan YBhg. Jeneral Dato’ Sri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM, Panglima Tentera Udara; dan YBrs. Puan Rohaida binti Deris, Pengarah PTPTN Negeri Selangor.









