LUMUT, 18 April 2026 – Seramai 60 ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Pangkalan TLDM Lumut telah menyertai Kursus Pengendalian Makanan menerusi Program Kemahiran Keluarga Tentera (K²T) yang berlangsung di Dewan Banquet , Pusat Pembangunan Wanita (PPW), Pangkalan TLDM Lumut anjuran bersama Biro Masakan BAKAT Laut Armada Barat melalui kerjasama dengan Yayasan LTAT selaku penaja kursus dan Kolej Komuniti Pasir Salak selaku pelaksana kursus
Kursus berbentuk praktikal ini memberi pendedahan kepada para peserta mengenai kaedah pengendalian makanan yang selamat dan bersih, selaras dengan piawaian kesihatan yang ditetapkan. Selain meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kebersihan makanan, kursus ini turut membuka peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan ilmu dalam kehidupan seharian serta potensi menjana pendapatan.
K²T merupakan inisiatif yg telah dilancarkan oleh YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan bertujuan untuk memperkasa kemahiran dan pengetahuan dalam kalangan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sekali gus mencerminkan usaha berterusan dalam memastikan kesejahteraan serta keprihatinan terhadap keluarga ATM.
Kehadiran YBhg. Datin Shafiqah binti Ismail, Pengerusi BAKAT Laut Armada Barat, telah menyerikan program ini dimana beliau juga merupakan salah seorang peserta kursus. Turut hadir ialah wakil dari Yayasan LTAT, Puan Zarina Mohamad, Pengerusi Kanan Strategi dan CSR, serta wakil Kolej Komuniti Pasir Salak, Puan Siti Saleha binti Abdul Aziz.
#YayasanLTAT
#MinDefUpdate
#MinDefMalaysia
#JagaWiraKita











