Berita, Pendidikan

PENYERAHAN SIMBOLIK e-PERKASA SPM 2026 PERKUKUH AKSES PENDIDIKAN DIGITAL ANAK ATM

Majlis Simbolik Penyerahan Program e-PERKASA SPM 2026 di Kem Kementah menandakan usaha berterusan Yayasan LTAT dalam memperkukuh akses pembelajaran digital serta menyokong persediaan akademik anak-anak warga ATM menghadapi peperiksaan SPM.
WhatsApp
Telegram
Facebook
X
LinkedIn


KEM KEMENTAH, 6 Julai 2026 – Auditorium Panglima Angkatan Tentera, Kem Kementah menjadi lokasi Majlis Simbolik Penyerahan Program e-Perkasa SPM 2026 yang memberi manfaat kepada pelajar anak ATM dalam memperkukuh akses kepada pembelajaran digital serta persediaan menghadapi peperiksaan SPM.

Majlis penyerahan simbolik telah disempurnakan oleh YBhg. Leftenan Jeneral Dato’ Seri Haji Muhammad Huzaimi bin Sabri, Ketua Staf ATM dengan penyerahan komputer riba kepada 27 penerima yang mewakili tiga perkhidmatan ATM iaitu Darat, Laut dan Udara.

Turut hadir Ketua Eksekutif Yayasan LTAT Dato’ Dr Mohd. Nizar bin Haji Sudin, Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA), Dato’ Indera Zahari bin Mohd Ariffin dan pegawai – pegawai kanan ATM yang lain.

Program e-Perkasa SPM merupakan antara inisiatif pendidikan Kementerian Pertahanan melalui Yayasan LTAT dalam memperkasa potensi akademik anak-anak ATM menerusi akses kepada pembelajaran digital yang menyokong persediaan menghadapi peperiksaan SPM.

Majlis penyerahan peranti di Kem Sungai Layar merupakan kesinambungan daripada simbolik penyerahan yang telah disempurnakan oleh YB Menteri Pertahanan sempena Majlis Peluncuran PROWIRA -Ready To Work (RTW) Graduan dan Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2026 pada 14 Mei yang lalu.

Yayasan LTAT komited dalam memperkasa pendidikan anak-anak ATM terus diperkukuh menerusi pelbagai inisiatif strategik yang memberi peluang pembelajaran berkualiti serta melahirkan generasi warga pertahanan yang lebih berdaya saing pada masa hadapan.