KUALA LUMPUR, 1 SEPTEMBER 2026 – Yayasan LTAT bersama ahli BAKAT Laut menyampaikan sumbangan kebajikan kepada empat penerima dalam kalangan anak ATM yang sedang berdepan masalah kesihatan, sebagai tanda keprihatinan dan sokongan berterusan terhadap kebajikan keluarga warga pertahanan.
Turut menyampaikan sumbangan ialah YBhg. Dato’ Dr. Mohd Nizar bin Hj. Sudin, Ketua Eksekutif Yayasan LTAT bersama YBhg. Datin Noriah binti Sahlan, Timbalan Pengerusi Jemaah BAKAT Laut merangkap Pengerusi BAKAT Laut Kuala Lumpur dan YBrs. Dr. Normawati binti Hj. Ibrahim serta YBhg. Datin Noraisha Azura binti Norzan.
Bantuan disalurkan kepada BM TLR Muhammad Khairul Aidel bin Anuar bagi membantu anaknya, Muhammad Aeril Syafi yang berumur 3 tahun, serta PW II TNL Natar bin Wadjar bagi meringankan beban penjagaan dua anaknya, Muhammad Faris Adha, 6 tahun dan Nur Raudhatul Jannah, 3 tahun. Sumbangan turut disampaikan kepada PW II PNK Masdan bin Hamidon bagi membantu anaknya, Nur Qaseh Adania, 14 tahun yang sedang berdepan masalah kesihatan.
Yayasan LTAT mendoakan agar anak-anak yang menerima sumbangan pada hari ini terus diberikan kesembuhan dan ketabahan dalam menghadapi ujian kesihatan, serta dipermudahkan segala urusan mereka dan keluarga.