MASJID TANAH, 5 SEPTEMBER 2026 – Seramai 20 ahli BAKAT 361 Bti RAD (Para) telah menyertai Kursus Pembuatan Aneka Roti menerusi Program Kemahiran Keluarga Tentera (K²T) di Kolej Komuniti Masjid Tanah, Melaka.
Di bawah bimbingan Puan Norazamimah binti Mak Jim, Pensyarah Kolej Komuniti Masjid Tanah, para peserta mempelajari proses penghasilan roti secara praktikal bermula daripada penyediaan bahan dan teknik menghasilkan doh hingga membentuk serta membakar aneka roti dan sausage roll.
Sesi amali yang interaktif memberi peluang kepada peserta mencuba sendiri setiap teknik yang dipelajari sekali gus meningkatkan kemahiran dan keyakinan mereka dalam menghasilkan produk makanan yang berkualiti.
Lebih daripada sekadar kemahiran untuk kegunaan keluarga, ilmu ini berpotensi dikembangkan menjadi produk komersial dan sumber pendapatan tambahan. Dengan kreativiti dan usaha yang berterusan, kemahiran yang bermula di dapur mampu menjadi langkah pertama ke arah keusahawanan.
Menerusi K²T, Yayasan LTAT terus memperkasa keluarga ATM dengan kemahiran praktikal yang dapat membuka peluang ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan keluarga.
Daripada satu adunan, tercipta pelbagai peluang.