CYBERJAYA, 16 November 2026 – Yayasan LTAT terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik dalam bidang pendidikan dan pembangunan kemahiran menerusi pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Multimedia University (MMU), bersempena program ELEV8 2026 yang berlangsung di MMU Cyberjaya.
Majlis pertukaran dokumen MoU tersebut disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Mohd Nizar bin Haji Sudin, Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, bersama YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Mazliham bin Mohd Su’ud, Presiden MMU, dan disaksikan oleh YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Azizan bin Ariffin TUDM (Bersara), Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan LTAT.
Yayasan LTAT merupakan antara sembilan (9) organisasi yang terlibat dalam pertukaran dokumen MoU bersama MMU pada majlis tersebut, selain Cyberview Sdn. Bhd., Monsta Studios Sdn. Bhd., DSR International Academy, DéScale Green Solution Sdn. Bhd., Glem.ai, DHL, Cheng & Co Foundation dan ALAM.
Kerjasama strategik ini menjadi pemangkin kepada peluasan peluang pendidikan, pembangunan bakat dan peningkatan kemahiran komuniti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merangkumi bimbingan akademik dan kerjaya, persediaan peperiksaan SPM, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta pendedahan kepada teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) dan robotik.
Melalui jalinan kerjasama ini, Yayasan LTAT komited untuk memperluas akses pendidikan dan latihan kemahiran yang inklusif serta relevan dengan keperluan masa hadapan, khususnya kepada anak-anak warga ATM dan keluarga anggota ATM.