Aktiviti, Pendidikan

MENEROKA POTENSI, MEMPERKASA BAKAT, MEMBINA MASA DEPAN

Yayasan LTAT mengadakan kunjung hormat ke Johor Corporation (JCorp) bagi memperkukuh hubungan strategik serta meneroka amalan terbaik dalam pembangunan modal insan.
WhatsApp
Telegram
Facebook
X
LinkedIn

JOHOR BHARU, 5 Ogos 2026 – Dalam usaha memperkukuh jaringan strategik serta meneroka amalan terbaik dalam pembangunan modal insan, Yayasan LTAT telah mengadakan kunjung hormat ke Johor Corporation (JCorp), sebuah syarikat pelaburan strategik milik Kerajaan Negeri Johor.

Delegasi Yayasan LTAT yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Dr. Mohd. Nizar bin Haji Sudin, Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, telah mengadakan sesi perbincangan strategik bersama YBhg. Encik Rozaini Mohd. Sani, Ketua Pegawai Kewangan JCorp, YBhg. Dato’ Mizan Yahya, Ketua Eksekutif Yayasan JCorp serta barisan pengurusan JCorp dan Yayasan Johor Corporation.

Perbincangan ini bertujuan meneroka potensi kerjasama strategik dalam memperkukuh akses kepada pendidikan, pembangunan kemahiran dan latihan industri yang mampu memberi manfaat kepada kumpulan sasar Yayasan LTAT, khususnya warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga mereka.

Delegasi turut meninjau program kemahiran teknikal di Johor Skill Development Centre (JSkills), pelaksanaan sebenar Program Akademi Dalam Industri (ADi) Yayasan JCorp di KFC Seri Gelam, serta mendalami pemeliharaan warisan budaya tenunan tempatan di Galeri Tenun Johor.

Siri kunjung hormat ini membuka ruang untuk meneroka pelbagai inisiatif sosioekonomi, pendidikan, dan latihan kemahiran yang berpotensi diperluaskan kepada keluarga warga ATM demi memperkasa pembangunan modal insan serta meningkatkan kebolehpasaran komuniti pertahanan agar berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa hadapan.