KUALA LUMPUR, 21 Oktober 2026 – Seramai 19 orang ahli BAKAT ATM menyertai Kursus Asas Masakan Victoria Sandwich Cake dan Brownies Butter Cake di Kolej Komuniti Hulu Langat (KKHL) sebagai platform untuk menimba kemahiran baharu.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Puan Sri Datin Seri Hajah Siti Juana binti Md Ibrahim, Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM, yang meluangkan masa bersama para peserta sepanjang pelaksanaan Program Kemahiran Keluarga Tentera (K²T). Turut hadir, YBhg. Datin Indera Sharifah Murshida binti Syed Zain, Ketua Biro Sosial dan Kebudayaan BAKAT Markas ATM, yang turut menyertai sesi amali penyediaan kek, serta YBhg. Dato’ Dr. Mohd Nizar bin Haji Sudin, Ketua Eksekutif Yayasan LTAT.
Melalui latihan amali ini, peserta didedahkan kepada teknik penyediaan kek yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian serta dikembangkan sebagai peluang keusahawanan untuk menjana pendapatan.
Yayasan LTAT terus komited dalam memperkasa keluarga ATM menerusi latihan kemahiran yang membuka peluang keusahawanan serta meningkatkan potensi penjanaan pendapatan.