KUALA LUMPUR, 21 November 2026 – YBhg. Dato’ Dr. Mohd Nizar bin Haji Sudin, Ketua Eksekutif Yayasan LTAT telah menghadiri Yayasan Peneraju Leadership Conference 2026, sebuah platform yang menghimpunkan Alumni Peneraju, bakat dan penerima biasiswa semasa Yayasan Peneraju, pemimpin industri serta rakan kerjasama.
Kehadiran ini turut mencerminkan hubungan erat antara Yayasan LTAT dan Yayasan Peneraju sebagai rakan strategik dalam memperluaskan akses kepada pembangunan modal insan dan bakat, terutama anak-anak ATM dan veteran ATM yang telah menerima manfaat melalui inisiatif kerjasama strategik.
Bertemakan “Xchange • Xperience • Xcellence”, persidangan ini membuka ruang kepada perkongsian ilmu dan pengalaman, pembangunan kepimpinan serta pembinaan jaringan profesional yang bermakna.
Interaksi bersama pemimpin industri dan pelbagai rakan kerjasama turut mempertemukan perspektif, kepakaran dan pengalaman yang boleh menjadi asas kepada penerokaan kerjasama pada masa hadapan.
Menerusi hubungan strategik yang telah dimeterai sejak Mei 2026, Yayasan LTAT dan Yayasan Peneraju terus meneroka ruang kerjasama yang berpotensi memperluaskan akses kepada pembangunan bakat, meningkatkan kebolehpasaran serta membuka lebih banyak laluan kepada anak-anak ATM dan veteran ATM untuk mengembangkan potensi diri. Tahniah diucapkan kepada penerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) Yayasan LTAT yang kini menjadi sebahagian daripada Alumni Yayasan Peneraju. Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin untuk terus melakar kejayaan serta menyumbang kepada pembangunan modal insan negara.