LANGKAWI, KEDAH, 21 MEI 2025 – Yayasan LTAT dan Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) hari ini telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) di Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25), menandakan kerjasama kali kedua antara kedua-dua pihak dalam memperkasa kemahiran teknikal dan kebolehpasaran anak-anak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta anak-anak Veteran ATM.
MoU ini ditandatangani oleh Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Nizar Haji Sudin dan Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, YBrs. En. Rushdi Abdul Rahim, disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan LTAT, YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Azizan Ariffin TUDM (Bersara), Pengerusi Bersama (Kerajaan) MIGHT, YBhg. Prof Emeritus Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid.
Melalui MoU ini, kedua-dua pihak akan melaksanakan Program LAKSAMANA 3.0 — sebuah inisiatif latihan kemahiran teknikal yang memberi tumpuan kepada bidang pengujian tanpa musnah (Non-Destructive Testing, NDT) melalui pendekatan Train & Place.