Berita, Pendidikan

SOKONGAN IBU BAPA PEMANGKIN KEJAYAAN ANAK

Yayasan LTAT dengan kerjasama PTPTN menganjurkan Program Motivasi Pelajar & Ibu Bapa: Persiapan PASA 2026 dan SPM 2027 di SMK Kem Terendak, Melaka bagi menyokong kecemerlangan pelajar.
WhatsApp
Telegram
Facebook
X
LinkedIn

Di sebalik setiap kejayaan seorang anak, terdapat doa dan sokongan ibu bapa yang menjadi kekuatan. Semangat ini diterjemahkan menerusi Program Motivasi Pelajar & Ibu Bapa: Persiapan PASA 2026 dan SPM 2027, salah satu komponen Road To Success anjuran Yayasan LTAT dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selaku penaja utama, yang diadakan pada 8 September 2026 di SMK Kem Terendak, Melaka.

Program Road To Success merupakan kesinambungan kerjasama strategik antara Yayasan LTAT dan PTPTN yang telah terjalin sejak tahun 2024 dalam usaha memperkasa pendidikan anak-anak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Program ini menghimpunkan 110 orang pelajar Tingkatan 4 bersama 71 orang ibu bapa dan penjaga sebagai langkah persediaan awal menuju SPM 2027. Menerusi program ini, para pelajar diberikan perkongsian, panduan dan motivasi dalam membuat persediaan yang lebih terancang serta membina keyakinan dalam menghadapi peperiksaan.

Sesi motivasi disampaikan oleh Ustazah Rozita Abd Hamid, Penceramah Motivasi & Pakar Keibubapaan, yang menekankan kepentingan peranan ibu bapa dalam memberikan sokongan, dorongan dan motivasi kepada anak-anak menuju kecemerlangan akademik.

Program ini turut menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara ibu bapa, pelajar dan pihak sekolah, di samping menyuntik semangat serta keyakinan pelajar dalam membuat persediaan menuju SPM 2027.