LUMUT, 19 September 2026 – Setiap langkah perjuangan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terukir dengan keberanian, kesetiaan dan pengorbanan yang tidak ternilai demi menjaga keamanan serta kedaulatan negara.
Bersempena sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-93, Yayasan LTAT terus menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan warga pertahanan dengan menyantuni kebajikan 30 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.
Sumbangan kebajikan telah disampaikan oleh Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin. Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Panglima Angkatan Tentera serta Panglima-Panglima Perkhidmatan daripada Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.
Lebih daripada sekadar sumbangan, inisiatif ini membawa mesej bahawa setiap jasa sentiasa dikenang, setiap pengorbanan terus dihargai dan kebajikan warga ATM sentiasa diberi perhatian.
Yayasan LTAT kekal komited untuk terus berdiri bersama warga pertahanan dan keluarga mereka dalam menghargai pengorbanan insan-insan yang telah mencurahkan khidmat bakti kepada tanah air.