KOTA KINABALU, 23 September 2026 – Penyerahan Buku Sumpah Setia Perwira Tanah Air kepada wakil Sekolah Dalam Kem (SDK) ATM di Sabah yang disempurnakan oleh YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Haji Malek Razak bin Sulaiman, Panglima Angkatan Tentera diiringi YBhg. Dato’ Dr. Mohd Nizar bin Haji Sudin, Ketua Eksekutif Yayasan LTAT.
Penyerahan buku ini diserahkan kepada Encik Mohammad Rozalli bin Rambangan, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pangkalan TLDM Kota Kinabalu,Sabah.
Penyerahan ini merupakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Yayasan LTAT dalam memperkasa literasi pertahanan, mengangkat sejarah perjuangan negara dan menyemai patriotisme, kesetiaan serta semangat kenegaraan dalam jiwa generasi muda.
Sebanyak 570 naskhah buku telah diperuntukkan kepada seluruh 38 buah Sekolah Dalam Kem (SDK) ATM yang menjadi wadah ilmu untuk para pelajar mengenali sejarah, menghayati pengorbanan perwira dan memahami erti kedaulatan tanah air.
Turut hadir YBhg. Puan Sri Datin Seri Hajah Siti Juana binti Md Ibrahim, Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM, YBhg. Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy bin Ithnain, Panglima Tentera Laut dan YBhg. Puan Sri Zamzelina binti Ahmad, Pengerusi Jemaah BAKAT Laut.
Dalam kesempatan ini, YBhg. Ketua Eksekutif Yayasan LTAT bersama barisan kepimpinan tertinggi ATM dan BAKAT turut meluangkan masa menyantuni Puan Noraini Abdullah, ahli BAKAT Laut yang mengusahakan perniagaan cendol dan kuih-muih di PERNAMA Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.
Sesi santai ini mencerminkan keprihatinan dan sokongan berterusan terhadap usaha serta sumbangan warga BAKAT dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti ATM.