JITRA, 8 Mac 2026 – Seramai 25 ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) dari Kolej Tentera Udara (KTU) telah menyertai Kursus Kuih Raya menerusi Program Kemahiran Keluarga Tentera (K²T) yang berlangsung di Kolej Komuniti Bandar Darulaman, Kedah.
Kursus berbentuk hands-on ini memberi pendedahan kepada peserta dalam menghasilkan pelbagai jenis kuih raya sebagai persediaan menjelang Aidilfitri, di samping membuka peluang menjadikan kemahiran tersebut sebagai sumber pendapatan tambahan.
Majlis penyampaian sijil kepada peserta telah disempurnakan oleh Ketua Eksekutif Yayasan LTAT, YBhg. Dato’ Dr Mohd Nizar bin Hj Sudin kepada semua peserta yang berjaya menamatkan kursus.
Program K²T merupakan inisiatif Kementerian Pertahanan melalui Yayasan LTAT dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), serta disokong daripada Pharmaniaga Berhad sebagai rakan strategik bagi memperkasa kemahiran keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sejak diperkenalkan, program ini telah mencatatkan penyertaan seramai 1,153 peserta melalui 34 kursus kemahiran yang dilaksanakan di rangkaian Kolej Komuniti seluruh negara.
Turut hadir YBrs. Brig Jen Azman bin Taib, Komandan KTU, YBrs. Pn. Salmiyah binti Che Ahmad, Pengarah Kolej Komuniti Bandar Darulaman, YBrs. Lt Kol Shuhaniff bin Sharuddin, Ketua Cawangan Tadbir/Penasihat BAKAT KTU serta YBrs. Pn. Che Noraini binti Hj Ahmad, Pengerusi BAKAT KTU.
#YasaYayasanLTAT
#MinDefUpdate
#MinDefMalaysia
#JagaWiraKita
#KemahiranKeluargaTentera

















