KLUANG, 19 September 2026 – Setiap cabaran terasa lebih ringan apabila ditempuhi bersama. Atas dasar keprihatinan ini, Yayasan LTAT meneruskan usaha mendampingi anggota keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi penyerahan sumbangan kebajikan kepada 4 keluarga anggota 7 Briged di Kem Mahkota, Kluang.
Meneruskan semangat Hari Ulang Tahun ATM ke-93, penyerahan sumbangan ini menzahirkan komitmen berterusan Yayasan LTAT untuk sentiasa prihatin dan menyokong kebajikan warga ATM serta keluarga secara berpanjangan.
Sumbangan disampaikan oleh YBrs. Puan Zarina binti Mohamad, Pengurus Kanan Strategi dan CSR Yayasan LTAT. Turut hadir bersama YBhg. Brig Jen Dato’ Zulhelmi bin Masdar, Panglima 7 Briged.
Empat penerima yang disantuni ialah Sjn Muhammad Helmy bin Mohd Yusof, Kpl Mohd Johari bin P. Ramle, Kpl Mohd Syawal Adam bin Bistaman serta Cristina Jhaluwe, anak kepada Kpl Patrick Ajah Anak Pati.
Lebih daripada sekadar bantuan, sumbangan ini membawa mesej bahawa warga ATM dan keluarga yang sedang berdepan cabaran kesihatan tidak menghadapinya sendirian. Berlandaskan rasa tanggungjawab dan keprihatinan terhadap keluarga besar ATM, Yayasan LTAT akan terus hadir menghulurkan sokongan kepada mereka yang memerlukan. Semoga sumbangan yang diberikan dapat meringankan beban, menyuntik semangat dan memberikan kekuatan kepada para penerima serta keluarga.
