KUALA LUMPUR, 15 & 17 SEPTEMBER 2026 – Membuat pilihan selepas SPM bukanlah sesuatu yang mudah. Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling, SMK Desa Tun Hussein Onn telah menganjurkan Program Hala Tuju dan Kerjaya Selepas SPM menerusi dua sesi bagi membantu pelajar Tingkatan 5 mengenali dengan lebih dekat pelbagai pilihan pendidikan, kemahiran dan kerjaya.
Dalam Sesi 1, para pelajar berpeluang meneroka laluan pengajian serta mendapatkan maklumat secara langsung daripada Kings University College (KUC), Management & Science University (MSU), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Multimedia University (MMU), Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Pendedahan diteruskan menerusi Sesi 2 yang menampilkan pameran informasi pendidikan dan kerjaya dengan penyertaan pelbagai institusi dan organisasi, antaranya International Islamic University Malaysia (IIUM), GIATMARA, Yayasan Peneraju, ALFA University College (AUC), TVET MARA dan German-Malaysian Institute (GMI).
Menerusi sesi interaksi dan perkongsian ini, para pelajar bukan sahaja dapat mengetahui pilihan yang tersedia selepas SPM, malah berpeluang mendapatkan gambaran lebih jelas tentang laluan pengajian, latihan kemahiran dan kerjaya yang sesuai dengan minat, potensi serta aspirasi masing-masing.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen Yayasan LTAT dalam memperluas akses kepada pendidikan dan pembangunan modal insan, sekali gus membantu generasi muda membuat pilihan yang lebih bermaklumat dalam menentukan hala tuju masa depan.